Tarikh : 10 Oktober 1994
2. Saya percaya bahawa hari ini adalah besar ertinya kepada para perwira dan perajurit yang menganggotai PAC - ATM.Ini adalah kerana pasukan yang diwujudkan dua tahun lepas telah mencapai taraf operasi, yang bererti PAC - ATM sekarang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawabnya dalam mendokong harapan serta tuntutan Dasar Pertahanan Negara. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang terlibat di ATM.
3. Pencapaian Wawasan 2020 memerlukan suasana aman dan damai baik didalam mahupun di luar negara. Kemakmuran serta kesejahteraan negara tidak akan kekal kalau ianya tidak dijaga dan dilindungi. Kita tidak boleh lalai dalam hal mempertahankan kepentingan negara yang meliputi kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kemakmurannya.Kita juga tidak boleh berharap atau bergantung kepada orang lain untuk melindungi dan mempertahankan hak kita. Kita mesti sentiasa berusaha untuk menjaga keselamatan dengan meningkatkan keupayaan kita mempertahankan kepentingan negara. Hanya negara yang kuat dalam serba serbinya termasuk pertahanan dapat menjamin kesinambungan kebebasan, kemerdekaan, kesejahteraan, keamanan dan kemakmurannya.
4. Kerajaan amat peka dan sedar betapa pentingnya peranan angkatan tentera dalam sistem kenegaraan. Tidak boleh dinafikan bahawa angkatan tentera adalah satu daripada ciri-ciri kuasa dan kekuatan negara. Atas kesedaran itulah Kerajaan telah menggariskan dalam Dasar Pertahanan Negara supaya satu angkatan tentera yang profesional, bersih dan berwibawa dilahirkan. Satu angkatan tentera yang kuat dan berupaya memainkan peranannya secara profesional akan dihormati dan disegani. Sifat-sifat ini adalah penting untuk menonjolkan kemampuan cegah rintang atau `deterrence'.Untuk mencapai matlamat ini, angkatan tentera hendaklah mempunyai kepimpinan yang berkualiti, lengkap dengan persenjataan yang moden, sistem latihan dan bantuan logistik yang bermutu tinggi supaya ia sentiasa siapsedia untuk menjalankan tugasnya di mana-mana juga.
5. Kejayaan Malaysia menangani segala cabaran kepada keselamatan negara adalah hasil daripada kesepakatan dan kerjasama yang erat antara kerajaan, pasukan keselamatan dan semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta. Persefahaman adalah penting untuk menghadapi masalah pertahanan negara.
6. Inilah sebenarnya falsafah konsep pertahanan menyeluruh. Keselamatan adalah hak dan tanggungjawab semua warganegara dan bukan terletak semata-mata atas bahu pasukan keselamatan sahaja. Kekuatan sesebuah negara sebenarnya terletak di atas bahu rakyatnya yang sama-sama komited, berdiri teguh dan sentiasa bersedia untuk mempertahankan kedaulatan negara. Inilah matlamat dan semangat yang hendak dicapai.
7. Kini ATM sedang giat mendokong Dasar Luar Negara sebagai pasukan pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun Malaysia hanya sebuah negara yang kecil, kita telah memainkan peranan sebagai negara yang menyokong usaha-usaha ke arah keadilan, kebebasan dan keamanan. Saya berbangga dengan keupayaan perwira dan pasukan-pasukan ATM yang berkhidmat di bawah PBB. Mereka telah menunjukkan mutu profesionalisma dan keberanian yang setanding dengan negara-negara yang lebih maju dalam melaksanakan tugas mereka. Mereka telah mengharumkan nama Malaysia.
8. Sehubungan dengan ini Kerajaan akan terus bersedia untuk membantu PBB untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan, kebebasan dan keadilan masyarakat sejagat. Dengan itu, ATM hendaklah sentiasa bersedia untuk bertugas sebagai pasukan pengaman PBB. Usaha-usaha yang tegas hendaklah diambil oleh semua yang bertanggungjawab untuk menentukan para pegawai dan anggota yang ditugaskan dalam PBB diberi latihan dan dilengkapkan dengan peralatan yang cukup.
9. Menyedari hakikat bahawa tentera mempunyai peranan yang penting dalam Dasar Pertahanan dan Dasar Luar Negara, usaha-usaha sedang dibuat untuk memodenkan ATM daripada segi struktur organisasinya dan juga peralatan serta sistem persenjataannya. Untuk ini Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM8,411 juta atau 14.4 peratus daripada Belanjawan negara dalam Rancangan Malaysia Keenam untuk pertahanan negara. Pembelian pesawat-pesawat pejuang, kapal-kapal laut dan persenjataan lain yang canggih adalah semata-mata untuk meningkatkan keupayaan konvensional ATM dalam mempertahankan kepentingan negara. Peralatan-peralatan yang usang perlu diganti dengan yang baru. Pembelian itu bukanlah kerana hendak bersaing dengan mana-mana negara. Ia hanya sekadar mengikuti kecanggihan sistem-sistem pertahanan. Di samping itu, peranan ATM juga telah bertambah meliputi Kawasan Perairan Zon Eklusif Ekonomi yang kaya dengan sumber-sumber asli seperti minyak dan gas.
10. Wawasan 2020 menuntut agar semua bidang kenegaraan dibangunkan supaya negara dapat menghadapi segala cabaran untuk menjadi sebuah negara yang maju. Dalam hal ini, penguasaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi maklumat adalah amat penting. Saya difahamkan ATM sedang mengambil beberapa langkah yang positif untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anggota-anggotanya termasuk memperkemaskan sistem latihan dan pendidikannya. Usaha ATM untuk menubuhkan sebuah Akademi Tentera bagi melatih pegawai- pegawainya dengan kerjasama sebuah universiti tempatan adalah satu usaha yang bijak.
11. Dalam hal ini pegawai-pegawai dan anggota-anggota tentera perlu diberi pendidikan yang dalam dan luas mengenai hal pengurusan pertahanan. Peranan ATM di peringkat antarabangsa memerlukan bukan sahaja pegawai yang cekap dalam tugasnya bahkan juga yang boleh menguasai bahasa Inggeris dan berkemampuan berbincang dengan bijaksana di forum-forum antarabangsa. Sementara itu aset-aset tentera yang canggih memerlukan anggota yang berkeupayaan mengendalikan peralatan itu untuk bertempur dan menyelenggarakannya. Tanpa tenaga manusia yang berkeupayaan tinggi, alat-alat yang canggih tidak akan menolong mengukuhkan pertahanan. Saya percaya ATM dapat mewujudkan budaya kerja yang cemerlang berpandukan falsafah dan prinsip `Total Quality Management' untuk mengurus dan menjaga sumber-sumber termasuk tenaga manusia dengan cekap dan bijaksana. Semua lapisan pemerintah dan kepimpinan hendaklah prihatin dengan peri mustahaknya meningkatkan kualiti prestasi serta kemahiran anggota tentera melalui latihan dan pelajaran yang berterusan.
12. Setelah menyaksikan `exercise' taktik menawan semula pengkalan udara dan pertunjukan statik pelbagai bidang keupayaan dan kemahiran PAC - ATM, jelaslah bahawa pasukan ini telah menjalani latihan yang intensif untuk mencapai taraf kemahiran yang tinggi. Saya ucapkan tahniah kepada semua yang mengambil bahagian dalam `exercise' dan demonstrasi ini. Saya harap kemahiran dan keupayaan seperti ini akan terus dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik mungkin.
13. Kewujudan PAC - ATM ini pasti akan memberi opsyen alternatif kepada Kerajaan untuk menyelesaikan konflik.Namun demikian, Kerajaan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip menyelesaikan masalah melalui rundingan diplomatik dan tidak dengan kekuatan tentera. Sungguhpun begitu, satu pasukan simpanan strategik hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk diaturgerakkan dengan epat apabila diperlukan. Semoga ATM ini menjadi pasukan simpanan strategik yang sentiasa siap sedia.
14. Dengan harapan ini dan dengan kalimah Bismillahir rahmanir rahim saya merasmikan taraf operasi PASUKAN ATURGERAK CEPAT ANGKATAN TENTERA MALAYSIA.