Google

Sabtu, 29 September 2007

Ops Market Garden

Rancangan Operasi payung terjun yang hebat melibatkan 35,000 anggota Divisyen Pertama Payung Terjun British dan Divisyen Ke-82 dan Divisyen Ke-101 Amerika Syarikat bersama-sama Briged Bebas Payung Terjun Poland. Objektif operasi adalah untuk menawan dan mempertahankan jambatan-jambatan penting merentasi Sungai Maas, Sungai Waal dan Sungai Rhine di Belanda untuk membolehkan Tentera Berikat mengatasi rusuk kedudukan tentera Jerman untuk melancarkan serangan terus ke wilayah Jerman.

Rancangan dibuat secara tergesa-gesa dan mempunyai banyak kelemahan. Penerjunan pada waktu siang membolehkan pengguguran dibuat secara berpadu dan dengan tepat, dengan tentangan yang terhad daripada pasukan Jerman. Serangan balas Jerman akhirnya mengakibatkan Divisyen Pertama Payung Terjun British dimusnahkan dan jambatan yang merentasi Sungai Rhine di Arnhem dapat ditawan semula oleh tentera Jerman daripada Bn Ke-2 Rejimen Payung Terjun British di bawah pemerintahan Lt. Kolonel John Frost. Tanpa pengawalan jambatan di Arnhem, keseluruhan operasi ini tergagal. See Operation Market Garden Web Site

Khamis, 27 September 2007

Kursus 'PEGASUS'

Seorang anggota Para mestilah mempunyai kebolehan untuk digerakkan sebagai seorang perajurit Para dan layak untuk memakai beret merun. Bagi melayakkan mereka untuk memiliki kemegahan ini, mereka perlu menjalani suatu latihan yang akan mendedahkan mereka kepada perlaksanaan operasi payung terjun yang bersifat agresif, tahan lasak dan saling bekerjasama. Justeru, Panglima 10 Briged Para pada ketika itu iaitu Brig Jen Dato’ Pahlawan Mohd Azumi Mohamed telah mengilhamkan satu bentuk latihan bagi mencapai objektif tersebut.


Maka lahirlah latihan Penyesuaian Beret Merun pada 1 Jan 1998 yang juga dikenali sebagai ’Pegasus’. Pegasus bermaksud 'kuda terbang’ iaitu sejenis kuda yang mempunyai sayap dan banyak terdapat di dalam cerita mitos masyarakat barat. Kehebatan nama haiwan ini telah digunakan oleh pasukan Paratrooper British sewaktu mereka melaksanakan ujian pemilihan ke atas anggota TD British sebelum mereka layak diterima sebagai anggota Paratrooper dan seterusnya layak memakai beret merun. Dalam formasi ini antara syarat untuk melayakkan pemakaian beret merun adalah lulus kursus asas payung terjun dan berjaya menamatkan kursus penyesuaian Beret Merun (Pegasus).

Dalam kursus Pegasus, latihan yang perlu dilalui oleh mereka adalah merangkumi latihan larian hutan, senaman perang, latihan abseilling, repealling, junam selesa, kawad tempur seksyen, membaca peta, merempuh halangan, larian pengusung, mendayung bot tempur sejauh 32 km, merentas desa, kemahiran senjata, ikhtiar hidup, larian balak dan larian 42 km.

Setelah berjaya menamatkan kursus tersebut, satu perbarisan khas diadakan dan disempurnakan oleh Panglima 10 Briged Para bagi upacara pemakaian Beret Merun dan Sayap Berdarah.

'Genggaman Para' - Mercu Tanda 10 Briged Para

Mercu tanda 10 Briged Para yang tersergam indah iaitu replika `Genggaman Para’ yang diilhamkan oleh Brig Jen Dato’ Mazelan bin Kasap Panglima 10 Briged Para yang ke sembilan yang dibina dihadapan pintu masuk Markas 10 Briged Para. Ini adalah salah satu mercu tanda kepada sebuah ketumbukan elit TD. Ia mula dibina pada 25 Nov 2004 dan siap sepenuhnya pada penghujung bulan Feb 2005. Replika Genggaman Para ini membawa erti kata yang tersendiri iaitu semangat dan sikap bersatu hati di kalangan warga 10 Briged Para dalam melaksanakan sesuatu amanah atau tugas yang diberikan, ianya umpama kelima jari yang digenggam mampu membuat sesuatu.



Kesemua jari mempunyai maksud atau ertikata yang tertentu untuk ditafsirkan. Bagi ibu jari mewakili Panglima, jari telunjuk mewakili Pegawai Memerintah atau Pemerintah, jari hantu mewakili RSM, KSM dan PTT kanan, jari manis mewakili PTT Rendah dan jari kelingking mewakili soldadu muda. Kesemua jari tidak mampu bertindak sendirian. Genggaman menunjukkan semangat bersatu hati warga 10 Briged Para didalam melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

Sempena sambutan HUT 10 Briged Para, replika ` Genggaman Para’ telah dirasmikan oleh Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Dato’ Masood bin Hj Zainal Abidin pada 13 Nov 2005 disaksikan seluruh warga 10 Briged Para.